BANGUN, DAN TERUSKAN BERLARI!

PROLOG

HUJAN masih merintik. Saya menyelak langsir lalu menatap hujan di luar jendela dengan penuh minat. Di dada langit, kelihatan awan-gemawan berkepul-kepul membungkus air hujan.

Dingin itu tiba-tiba melamar kenangan yang telah lama saya tinggalkan. Itulah bumi ilmu yang pernah saya berkelana suatu ketika dahulu, Jordan.

Apabila saya memasuki kelas, saya selalu mencampakkan soalan ke hati dan fikiran murid-murid saya :

“ Siapa dalam kalangan kamu berminat ke Jordan,?” tanya saya.

“ Di sana ada apa Ustaz,?” sampuk salah seorang daripada mereka. Perasaan ingin tahu bersulam nakal jenaka.

“ Di sana ada macam-macam,” sambil bibir meratib segala-galanya yang masih terakam dalam bingkai fikiran.

 Bumi itu saban hari bertukar menjadi impian murid-murid saya. Dalam kalangan mereka ada juga cuba memohon untuk ke sana, tetapi tidak berjaya. Ada yang sudah berjaya, namun punya kekangan tersendiri, termasuk halangan daripada ahli keluarga. Sungguh kasihan kepada mereka, saya tidak putus-putus memberi harapan,

“ Usah bersedih, kita akan berjaya dengan jalan kita sendiri,” kata saya demi meredakan gelora di dada mereka. Akhirnya mereka reda.

SATU

Nurul.

Ya gadis itu Bernama Nurul. Seorang murid yang pernah saya ajar selama dua tahun. Pertama sewaktu dia berada di kelas tingkatan satu. Kedua ketika dia belajar kelas peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Gadis itu halus bicaranya. Iman saya masih menambat. Tidak mudah jatuh hati kepada murid, apatah lagi ingin bercinta, jauh sekali. Saya sudah tua, murid-murid saya bagaikan anak-anak saya. Sungguh mual orang tua tergila-gilakan murid sendiri, bak kata pepatah; “ lagi lebai, lagi berjanggut.”  

Pun begitu, saya sayang kepada semua murid-murid saya, sebab itulah saya meletakkan harapan agar mereka dapat pergi lebih jauh. Sejauh semangat para alim ulama berkelana demi ilmu.

Bukan apa, sememangnya hendak mempraktikan Bahasa Arab yang telah mereka pelajari, perlu bercampur dengan penuturnya. Agar ilmu yang diserap di sekolah berkembang dan tidak mudah dilupakan.

Kata orang, sekolah kami sekolah kilang tepung. Yang terperosok di pinggir bandar. Di kelilingi sawah-bendang. Sesiapa sahaja yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah ini, pasti akan berfikir buat kali keduanya. Mungkinkah di sini ada harapan?,

Hanya yang kental semangat sahaja mampu bertahan.

Bangunan di sekolah ini tidak semegah mana. Tiada apa yang dapat dibuktikan kehebatan sekolah ini, melalui gahnya fizikal. Halaman parkir guru pun puas berlumba-lumba mendapat tempat pada waktu pagi, apatah lagi mengimpikan sekolah yang serba lengkap infrastukturnya. Namun, kehebatan sekolah barangkali dapat dibuktikan dengan menghasilkan legasi ilmu sebagai penyambung kelarai nyawa sekolah ini.

Sebaik murid-murid lesu menumpukan perhatian di dalam kelas, saya cuba menyulamkan cerita-cerita perjalanan belajar saya dan suasana di luar negara. Bukan apa, agar mereka turut sama mengembara ke dunia luar walaupun sekadar imaginasi.

Mata mereka tampak segar.

Mereka melontarkan pandangan ke arah saya dengan penuh minat. Saya naik syok bercerita.

Gadis itu merenung saya. Matanya tidak berkelip. Mungkin dia juga mempunyai impian untuk ke Jordan. Entah dari arah mana datangnya keinginan, saya tidak tahu.

Tetapi apabila saya berkongsi pengalaman saya, tahulah saya dia benar-benar berminat. Mungkin hendak memberitahu, malu.

Pada kelas yang akan datang, saya mengiklankan peluang menyambung ke Jordan dengan tajaan. Saya menyuruh murid-murid saya mengisi dan mengambil peluang. Sehinggakan pautan berkenaan tersebut saya beri.

Dalam kalangan murid-murid saya ramai yang mengisi termasuklah Nurul dan beberapa rakannya yang lain. Apa sahaja berkaitan permohonan yang mereka tidak pasti, mereka akan merujuk kepada saya terlebih dahulu. Apabila yakin, permohonan mereka terus dihantar.

Saya membantu sekadar tahu.

Apabila keputusan diperolehi, seperti adatnya, ada yang berjaya dan ada yang belum berjaya.

Nurul memberitahu dia berjaya, tetapi bidang yang ditawarkan tidak berkenan di hatinya.

Saya menyuruh supaya dia beristikharah. Mudah-mudahan Tuhan memberi petunjuk. Akhirnya dia memberi tahu bahawa dia menolak tawaran tersebut dan menanti tawaran yang lain jika berpeluang. Sebagai guru, saya hanya menghormati keputusan murid-murid, apatah lagi keputusan ini melibatkan keseronokkan mereka belajar suatu ketika nanti.

DUA

Katanya kepada saya, sudah bertahun dia memohon keizinan daripada ayahanda dan bondanya untuk menyambung belajar ke Jordan. Namun, Jordan sering digembar-gemburkan orang sebuah tempat yang menelan perbelanjaan yang tinggi, pembelajaran yang sukar bahkan tidak menjamin peluang pekerjaan.

Nurul hampir pasrah.

Katanya kepada saya untuk menyambung pengajian di dalam negara sahaja, tidak keluar negara. Saya tiada zan, bahawa semangatnya pasti masih ada, walaupun hanya seperti cahaya pelita.

Saya cuba memberi tenaga semangat untuknya. Pelbagai ayat yang terakam di minda, saya lontarkan kepadanya. Antaranya yang masih saya ingat ialah;

“ Bina impian bukan dengan duit, tetapi dengan azam,” akhirnya semangatnya berkorbar semula.

Saya pula yang resah. Mana tidaknya, saya pula bersungguh-sungguh, seakan memaksa. Itu yang membimbangkan saya. Dek kerana saya rasakan dia punya potensi mengembangkan ilmunya, atau lebih mudah kepintarannya menjadi aset agama, saya tidak putus-putus memberi kata semangat.

Nurul seorang yang taat. Dia tidak pandai melawan kebimbangan ayahanda dan bondanya. Dia juga mudah reda. Pun begitu, dia tidak putus menyelitkan doanya di dalam solatnya dan juga di sepertiga malam. Akhirnya Tuhan telah membuka hati ayahanda dan bondanya untuk melepaskan dia pergi.

Bagi mempersiapkan diri ke Jordan. Nurul berusaha mencari pendapatan sendiri dengan mengajar al-Quran atas talian. Nurul gembira dengan kerjayanya yang sementara itu. Sedikit sebanyak pendapatan dapat dia kumpul untuk keperluannya di Jordan.

Bukan itu sahaja, Nurul juga mengambil upah untuk mengopek ikan bilis. Nurul sakit urat. Terkadang jari halusnya mengejang. Tengkoknya lenguh. Tulang belakangnya mengeras. Sesekali Nurul menggeliat bagai kucing baru bangun tidur. Apa boleh buat, itu sahaja usaha yang dia mampu. Tidak pula dia berpeluk tubuh. Rasanya berbaloi menanggung sakit demi menggapai impiannya ke Jordan.

Kasihan Nurul.

Tidak pula Nurul mengenal lelah. Juga, tidak pula Nurul kisah akan bau hanyir ikan bilis yang menusuk hidungnya. Demi menampung perbelanjaan, demi meringankan beban keluarga, dia gagahkan dirinya .

Memang benar, Orang yang berusaha jarang sekali dikecewakan Tuhan. Demi seluas rezeki, berguni-guni ikan bilis yang dikopek, Nurul sanggup lakukan siang dan malam, pagi dan petang. Seluas itu juga hasil yang diperolehinya.

TIGA

Menjelang beberapa hari sebelum berangkat, Nurul mengutus kiriman Whatsapp kepada saya. Katanya seseorang individu, telah mengirim masej yang berbaur dilema. Individu tersebut melontarkan kata, yang seakan nasihat baginya. Tetapi tidak bagi saya. Kata-kata itu ibarat racun yang akan membunuh cita-cita, ungkapan tersebut bermafhum,

“ Balik nanti nak jadi apa?”

Saya mengarang panjang menjawab persoalan tersebut, bahkan tidak cukup mengarang kepada Nurul, malah saya juga berkongsi hantaran pada ruangan akaun Facebook peribadi saya;

Bagi saya, soalan itu yang bermain difikiran bukan penuntut ilmu, tetapi penuntut materialistik. Bukan itu sahaja, bahkan soalan itu mempunyai bisa memedap yang bakal membunuh semangat dan cita-cita.

Kali ini, soalan itu timbul sekali lagi walaupun sudah lama tenggelam dan saya telah melupakan. Namun dikejutkan apabila Nurul mempersoalkan tentang itu. Nurul bukan tidak yakin, tetapi Nurul agak sedikit terganggu dengan soalan itu.

Jawab saya, itu adalah takdir. Tiada siapa yang dapat merungkai permasalahan takdir menggunakan formula sendiri. Mungkin banyak perkara kita boleh menggunakan formula, tetapi tidak kepada rezeki, ajal, jodoh masa depan dan lain-lain.

Bukankah orang seperti saya tidak mempunyai hala-tuju?

Jawab saya, hala-tuju saya yang sebenar ialah kehidupan selepas mati. Itu hala-tuju yang sebenar. Dan itu yang perlu menjadi fokus utama, dan itulah perjalanan yang tidak dapat berpatah balik.

Kenapa?

Perjalanan di dunia ini, jika tersesat atau terlajak, semestinya ada peluang untuk berpatah balik, tidak pada hala-tuju akhirat.

Sepertinya tidak ada perancangan?

Ya, kita merancang, tetapi jangan terlalu obses. Tetapi rancangan yang terbaik ialah rancangan apabila kita mendapat sesuatu peluang. Kenapa kita perlu merancang ? sedangkan peluang belum ada?, bukan itu satu kepelikan. Atau erti kata lain, merancang sesuatu yang belum pasti.

Kita tahu, pada diri sendiri punya; bakat, kekuatan dan kelemahan, semestinya kita akan berjaya dengan jalan yang ditentukan Allah SWT. Kita akan berjaya apabila kita menemui jalan yang betul.

Dahulu, sewaktu di Jordan, saya ditanya oleh rakan; balik nanti engkau nak buat apa?

Saya jawab tak tahu, mungkin jual ayam goreng, ejen pelancongan barangkali, tetapi takdir saya Allah beri dengan lebih baik daripada apa yang saya fikirkan.

Jika datang peluang pada waktu sekarang manfaatkanlah, peluang yang akan datang jangan difikirkan lagi. Ambillah teladan kata-kata hikmah orang terdahulu;

” Lepas putih, hitam tak dapat”

EPILOG

Nurul dan rakan-rakannya akan berangkat ke bumi Jordan . Tiadalah yang mengembirakan perasaan seorang guru, melainkan anak didiknya lebih baik daripada dirinya. Kerana dia melihat anak didiknya adalah cerminan peribadinya.

Jika anda melihat murid anda berpontensi, sewajarnya anda memberi harapan supaya dia terus berlari. Terus menggapai awan yang tinggi, setinggi mana ia terbang setinggi itu diri anda, sejauh mana dia berkelana, sejauh itu juga harapan anda telah dibawa bersamanya.

Hujan sudah mulai reda. Perasaan menjadi dingin, namun saya tetap saya. Tidak ke mana-mana tetapi masih bercita-cita memberi inspirasi kepada ramai lagi murid seperti Nurul dan rakan-rakannya yang berjaya, agar mampu menggapai cita-cita mereka dan pulang menegakkan agama Allah SWT.

Kopi tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan bagi penggemarnya. Ia memberi kesegaran kepada tubuh. Kopi mempunyai pelbagai jenis, dan rasa juga berbeza-beza mengikut adunan, mahupun tempat pengeluar.

Iklim di Malaysia sesuai untuk tanam kopi jenis robusta dengan tanah landai seperti di Kedah. ( Berita Harian, 2 November 2019 )

Di daerah Sik, 23 hektar kawasan ladang kopi sedang membangun. Penduduk Kedah telah mengusahakan kopi sejak 90-an, namun terhenti akibat pasaran tidak menentu. ( Sinar Harian, 21 Disember 2020 )

Munurut Mintel, orang muda terutama yang berusia 18-24 tahun minum kopi untuk memberi tenaga ransangan sepanjang hari. ( Mintel Group, LTD 2012, Coffee in the United States- Sustainability Trends )

Kata Dr. Solah al-Khalidi hafizahullah di dalam buah tangannya khīttah al-barrāqah” Adalah lebih baik, minum secawan kopi untuk membantu fokus dan lebih aktif bekerja” ( khīttah al-barrāqah, li zī an-nafsi at-tawwaqah, Dr. Salah al-Khalidi cet : Dar al-‘ Qalam , MS 135 )

Di barat ;Akhbar Independent UK melaporkan 70 milion cawan kopi diminum di UK setiap hari.”..Tegukan Kopi panas pasti melegakan saat di hambat sejuk siang dan malam,… Aroma Kopi sangat menyegarkan bagai menyelinap masuk memanaskan badan yang sejuk” ( Legasi Ustaz UK, Ruzain Syukur Mansor, Akademi Daie Pena, Ms 77-78 )

Kopi merupakan minuman yang menyegarkan tubuh, memberi fokus dan tumpuan. Ia meransang kerja anda pada hari tersebut, atau pada waktu tertentu.

SALAM KOPI,

QALAM DAIE

SALAM KOPI

MOTIVASI MENGHAYATI AL-QURAN

Catatan SAS Puzi Hadi

Aneka buku di pasaran, memahamkan kita berkaitan al-Quran daripada pelbagai perspektif. Ada berbentuk popular dan akademik mengikut aras khalayak. Ada buku nipis yang ringkas isinya; buku tebal yang ditulis bersifat ilmu kajian yang mendalam.

Buku tersebut sama ada karya asli berbahasa Melayu atau terjemahan daripada bahasa Arab.Kini hadir buku ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ (AQSE) buah tangan Wan Mohammad Taufik Bin Wan Mohd Kamal (Shah Alam: Akademi Daie Pena, 2021).

Buku bergaya motivasi mahu mendekatkan khalayak kepada al-Quran yang sesuai untuk pembaca umum (termasuk remaja).Kandungan buku AQSE terbahagi dalam empat bab iaitu:

Bab 1: Kenapa Al-Quran itu perlu dibaca? Penulis mencirikan 10 perkara secara ringkas bersandar ayat al-Quran atau hadis tanpa panjang lebar tapi meninggal kesan kepada pembaca. Diselangi dengan ‘Inspirasi Tokoh’ dengan tokoh dahulu mendekati al-Quran sebagai panduan kepada kita meyakini kebesaran kitab wahyu Allah SWT.

Bab 2: Perkembangan ringkas al-Quran. Tidak tahu sejarah maka tidaklah jatuh cinta kepada al-Quran. Penulis ketengahkan susur galur turunnya al-Quran kepada Nabi SAW diangkat sebagai Rasul pada usia 40 tahun 6 bulan 12 hari (perkiraan bulan) atau 39 tahun 3 bulan 22hari (perkiraan matahari). Diceritakan senario Gua Hira untuk kita lebih menghayati penurunan ayat-ayat suci melalui interaksi di antara Baginda dengan Malaikat Jibrail AS. Turut disentuh hal pembukuan al-Quran berlaku selepas kewafatan Nabi SAW iaitu kesan daripada peperangan Yamamah di mana ramai penghafal al-Quran terbunuh.

Bab 3: Eksplorasi. Terbahagi tiga bahagian.Eksplorasi 1 – Penulis mengutara panduan pilihan pelbagai bacaan Nabi SAW sebagai amalan harian umat Islam. Eksplorasi 2 – Penulis membawa kisah yang terdapat dalam al-Quran, iaitu Surah Hud; Nabi Nuh; kisah kaum A’ad; kisah kaum Thamud; Nabi Luth; cerita kaum Madyan; dan Nabi Musa.Eksplorasi 3: Menyentuh pelbagai urusan hidup duniawi berkaitan akidah dan syariat yang diperintah Allah SWT wajib dilaksana umat-Nya dan termaktub dalam al-Quran. Setiap perkara diiringi tadabbur ayat al-Quran.

Bab 4: Bagaimana saya hendak mengeksplorasi Al-Quran? Mungkin berdasar pengalaman penulis disampaikan kepada kita. Misalnya perlu ada al-Quran terjemahan; dalam Al-Quran terdapat aneka topik yang boleh kita ambil sebagai panduan; peka kepada alam ciptaan Allah SWT yang terdapat dalam al-Quran itu sendiri; memahami makna perkataan serta pelbagai tema dalam al-Quran.

Kelangsungan menatap buku ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ (dengan hanya 113 muka surat) terasa ada kelainan gaya penyampaiannya yang tidak saya temui sebelum ini. Moga jiwa kita lebih dekat kepada al-Quran dengan eksplorasi motivasi penulis kepada khalayak.

II

Penulis ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ iaitu Wan Mohammad Taufik Bin Wan Mohd Kamal mengguna nama pena Qalam Daie berasal dari Pulau Pinang, lahir pada tahun 1988.Beliau melengkapkan dirinya dengan Diploma bahasa Arab di KUIS (2009), Ijazah Sarjana Muda (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) di Universiti Ali Al-bayt (2014) dan, Diploma Pendidikan Lepas Ijazah di IPG Kampus Pulau Pinang (2019).Kini berkhidmat di Maahad Al-Imam An Nawawi, Lahar Minyak Kepala Batas, Pulau Pinang.

TERIMA KASIH PAK PUZI ATAS KESUDIAN MENGULAS BUKU SAYA!

Karya Yang Kedua

Posted: August 13, 2021 in IndahNYA pernikahan..

Inilah karya saya yang kedua; Al-Quran Satu Eksplorasi. Andai Tuhan tidak memanjangkan usia saya, barangkali inilah karya saya yang terakhir. Sehari demi sehari, dipertontonkan jumlah kes Covid-19 semakin mencanak naik. Sudah ramai telah meninggal. Pada minggu sudah, kami sekeluarga kehilangan Tok dan Tokwan dalam masa dua hari berturut-turut.

Secara ringkasnya buku ini membicarakan berkenaan Eksplorasi al-Quran. Saya menulis buku ini, berdasarkan pengalaman dan perasaan ingin tahu tentang al-Quran. Justeru saya bukukan semuanya dalam senaskah buku. Mudah-mudahan bermanfaat buat umat. Dan mungkin juga ini batu nisan saya, bahawa saya pernah hidup di dunia.

Qalam Daie

14 Ogos 2021

Bandar Puteri Jaya

Karya Picisan

Posted: August 13, 2021 in IndahNYA pernikahan..

Semenjak dahulu sehingga sekarang saya meluat membaca karya yang dipahat dengan bingkai-bingkai maksiat. Apatah lagi dimasukkan sedikit adegan negatif yang membentuk plot. Bukan menunjukkan saya seorang yang baik, tetapi rasa loya di hujung tekak.

Saya mengerti, sememangnya penulis itu perlu mencipta kelainan, itulah beban yang tergalas di bahu penulis. Namun, memasukkan beberapa adegan negatif, akan menzahirkan kelemahan karektor, atau menampakkan penulis yang ketandusan idea, apabila karya mereka bersulamkan edegan-adegan erotik.

Menjadi tanda tanya pada saya, apakah tanpa adegan tersebut, menjadikan karya mereka tidak bermutu?Kata guru, sememangnya watak utama perlu kukuh dan menjadi contoh. Bahkan sewajarnya, dijauhi perkara-perkara yang menjatuhkan maruah pada watak utama. Bukan membentuk karektor sang pendosa, dan diakhiri dengan taubat.

Antara perkara yang lain, karya itu juga mewajahkan si Penulis. Bahkan apa yang kurang baik yang ditulis sebenarnya membuka pintu fitnah dan aib diri sendiri.

Seburuk-buruk akhlak masyarakat jahiliah, saya gagal mengesan karya-karya mereka dengan adegan yang kurang sopan. Bahkan sarat dengan nilai-nilai kehidupan.Apakah kita yang sudah beriman, masihkah memilih untuk menghasilkan karya picisan?

Tulislah yang baik-baik, kerana Allah melihat apa yang kita tulis. Kita diberi pilihan memilih perkara lebih utama daripada perkara yang utama.

(Gambar sewaktu gemar mengkritik Sastera Arab, zaman muda, di dalam singgahsana seribu satu kenangan )

Qalam Daie

11 Ogos 2021

Bandar Puteri Jaya

BUKAN semua penawar ada pada makanan, bahkan ada pada kaedah yang lain, sebagai contoh dalam isu seekor lalat, Rasulullah S.A.W bersabda ;

“Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas air sesiapa dalam kalangan kamu, hendaklah ia merejam lalat itu sepenuhnya ke dalam air, kemudian barulah ia membuangnya. Sesungguhnya pada salah satu daripada dua sayapnya terdapat penawar dan di sebelah lagi terdapat penyakit.”

( Shahih al-Bukhari, kitab ath-Thib, Bab Iza Waqa’a az-Zubab fi al-Ina, no. Hadis 5782 )

Antara yang lain, nabi SAW mengajar kepanasan dapat dineutralkan dengan dingin air seperti dalam hadis ;Saidatina ‘Aisyah r.ha menceritakan Nabi SAW bersabda,

” Demam adalah daripada bahang api Neraka Jahanam. Oleh itu sejukkanlah dengan air.”

( Shahih al-Bukhari, kitab ath-Thib, Bab al-humma min Faihi Jahannam, no. Hadis, 5725 )

Dalam peristiwa wabak taun Amawas, saidina Umar r.a mengarahkan Abu Ubaidah membawa umat Islam berpindah ke al-Jabiyah kerana di situ udara lebih bersih dan nyaman.

Pada durian juga di situ ada penawar, kata orang dulu-dulu, setelah makan durian, masukkan air ke dalam pangsa, minum air di dalam pangsa pasti akan sejuk badan. Jika tangan anda berbau durian , lalukan air di luar kulit, tangan letakan di bawahnya. Air kulit durian akan menghilangkan bau durian di tangan anda.

Wallahua’lam, vaksin Ikhtiar saya untuk perlindungan diri, kepada Allah jua saya bertawakal.

Alhamdulillah selesai dos yang kedua.

Qalam Daie

30 Julai 2021

Bandar Puteri Jaya

gambar ketika selesai Vaksin Dos kedua

Ya, bapa seorang yang aneh. Kasih sayangnya kadang-kadang disembunyikan, persis tangan kanan memberi, disorok tangan kiri. Terkadang kasih sayangnya tidak terhidu hidung isterinya, apatah lagi anaknya.

Dia memberi tanpa meminta. Dia memberi tanpa pertimbangan, kadang-kadang memberi jauh lebih besar daripada kemampuan dirinya. Dia memberi, kadang-kadang dia juga yang menangung beban hutang. Aneh perangai seorang bapa.

Tetapi di dalam hidup ini, jarang sekali orang menghargai bapa. Anak menangih kasih bapa diibaratkan umpama embun, mendinginkan di waktu pagi, menghilang apabila matahari menghangatkan bumi.

Namun bapa tidak peduli, yang dia peduli, isterinya baik, anaknya juga dalam keadaan baik.

Salam sayang buat yang bergelar bapa. Usah ditagih janji berpeti-peti, yang pasti kita akan mati dan mengharapkan anak-anak sebagai penyelamat diri.

Qalam Daie

31 Julai 2021

Bandar Puteri Jaya

Tersepit saya saat itu. Harapan saya untuk menyambung pelajaran ke Mesir terbantut disebabkan perjanjian persefahaman di antara KUIS dan Al-Azhar terbatal pada tahun 2009. Saya tidak mempunyai perancangan yang baik ketika itu menyebabkan saya tidak ke mana-mana, dan tidak senasib sahabat-sahabat saya yang lain mengubah haluan mereka ke Jordan.Setelah tamat pengajian di KUIS saya bekerja sebagai Warden Asrama dengan pendapatan RM 900 sebulan. Pun begitu saya bersyukur kerana masih ada ruang untuk saya bekerja bagi mengelakkan diri sebagai penganggur. Pengangguran diibarat seperti tidak bermaruah. Kemana sahaja kita pergi, orang menganggap kita sebagai bebanan kepada ibu-bapa. Pengangguran menyebabkan harga diri kita dipertaruhkan bahkan kita juga bakal digelar sebagai pemalas.

Masakan saya boleh hidup dalam keadaan begitu, Justeru saya tidak memilih apa sahaja perkerjaan hatta pemandu kereta sekalipun saya sanggup, apatah hidup dikecam orang disekeliling.Teladan Seekor BurungPernah sewaktu belajar di Jordan, sahabat saya memberi analogi, kita perlu berusaha dan bertawakal. Lihatlah seekor burung, betapa besar usaha dan tawakal seekor burung. Ia mampu terbang sejauh mungkin bagi mengisi perut. Pernahkah burung mengetahui pada pagi hari di manakah punca rezekinya dan cukupkan untuk dirinya dan keluarganya. Mungkin hadith nabi SAW ini yang ingin sahabat saya sampaikan;

Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164),Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)Analogi ini menyentuh diri saya.

Naluri setiap manusia pasti merasai kerisauan. Kerisauan tentang rezekinya atau nasibnya. Sebenarnya kerisauan itu baik, bila hadirnya kerisauan akan hadirnya usaha. Bukan hanya tawakal semata. Namun, kerisauan yang terlampau dapat menguasai diri serta meracuni akal dan usaha. Mungkin mempengaruhi perasaan atau akan meruntun perasaan putus asa.

Justeru, biarlah kerisauan menyebabkan seseorang itu menjadi lebih berusaha untuk kehidupannya lebih baik di dunia mahupun akhirat.Saya nasihat kepada anak-anak STAM yang mendapat keputusan Peperiksaan pada hari ini, usah jadikan duit sebagai penghalang cita-cita kamu, jadikan usaha sebagai jalan kamu.

First time – Ada pelajar dapat MUMTAZ ADAB DAN NUSUS STAM . Terharu rasa.Tahniah kepada semua bekas pelajar STAM, anda hebat!

Di bangku Muhasabah

Posted: June 17, 2021 in IndahNYA pernikahan..

Ujian sebagai guru, mengajak diri bermusabah, siapa aku sebenarnya. Jaring-jaring hawa nafsu, terbelit juga di pukat lautan dunia. Anakanda Wan Nur Hanan Maisarah, anak yang kedua telah mengalami kekejangan akibat suhu badan yang mencalak.

Oh.. Andai bisa, kegelisahan ini, bisa dicabut dari kesakitan itu.

Awaslah, jika dirimu dililit material. Sudah lama saya tidak berkongsi apa-apa. Sudah bertaun lamanya. Bukan kerana kesibukan, tetapi barangkali hati ini tidak berkeinginan berkongsi.

Alhamdulillah, saya sudah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan arab. Setelah tamat pengajian pada 2014 saya memulakan kareer saya sebagai seorang guru. Ya. Guru bahasa arab sehingga kini. Saya bermula sebagai guru ganti, kemudian guru majlis agama islam mainpp, sehinggalah kepada guru dini KPM.