Bangun, dan terus berlari!

Posted: January 27, 2022 in IndahNYA pernikahan..

BANGUN, DAN TERUSKAN BERLARI!

PROLOG

HUJAN masih merintik. Saya menyelak langsir lalu menatap hujan di luar jendela dengan penuh minat. Di dada langit, kelihatan awan-gemawan berkepul-kepul membungkus air hujan.

Dingin itu tiba-tiba melamar kenangan yang telah lama saya tinggalkan. Itulah bumi ilmu yang pernah saya berkelana suatu ketika dahulu, Jordan.

Apabila saya memasuki kelas, saya selalu mencampakkan soalan ke hati dan fikiran murid-murid saya :

“ Siapa dalam kalangan kamu berminat ke Jordan,?” tanya saya.

“ Di sana ada apa Ustaz,?” sampuk salah seorang daripada mereka. Perasaan ingin tahu bersulam nakal jenaka.

“ Di sana ada macam-macam,” sambil bibir meratib segala-galanya yang masih terakam dalam bingkai fikiran.

 Bumi itu saban hari bertukar menjadi impian murid-murid saya. Dalam kalangan mereka ada juga cuba memohon untuk ke sana, tetapi tidak berjaya. Ada yang sudah berjaya, namun punya kekangan tersendiri, termasuk halangan daripada ahli keluarga. Sungguh kasihan kepada mereka, saya tidak putus-putus memberi harapan,

“ Usah bersedih, kita akan berjaya dengan jalan kita sendiri,” kata saya demi meredakan gelora di dada mereka. Akhirnya mereka reda.

SATU

Nurul.

Ya gadis itu Bernama Nurul. Seorang murid yang pernah saya ajar selama dua tahun. Pertama sewaktu dia berada di kelas tingkatan satu. Kedua ketika dia belajar kelas peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Gadis itu halus bicaranya. Iman saya masih menambat. Tidak mudah jatuh hati kepada murid, apatah lagi ingin bercinta, jauh sekali. Saya sudah tua, murid-murid saya bagaikan anak-anak saya. Sungguh mual orang tua tergila-gilakan murid sendiri, bak kata pepatah; “ lagi lebai, lagi berjanggut.”  

Pun begitu, saya sayang kepada semua murid-murid saya, sebab itulah saya meletakkan harapan agar mereka dapat pergi lebih jauh. Sejauh semangat para alim ulama berkelana demi ilmu.

Bukan apa, sememangnya hendak mempraktikan Bahasa Arab yang telah mereka pelajari, perlu bercampur dengan penuturnya. Agar ilmu yang diserap di sekolah berkembang dan tidak mudah dilupakan.

Kata orang, sekolah kami sekolah kilang tepung. Yang terperosok di pinggir bandar. Di kelilingi sawah-bendang. Sesiapa sahaja yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah ini, pasti akan berfikir buat kali keduanya. Mungkinkah di sini ada harapan?,

Hanya yang kental semangat sahaja mampu bertahan.

Bangunan di sekolah ini tidak semegah mana. Tiada apa yang dapat dibuktikan kehebatan sekolah ini, melalui gahnya fizikal. Halaman parkir guru pun puas berlumba-lumba mendapat tempat pada waktu pagi, apatah lagi mengimpikan sekolah yang serba lengkap infrastukturnya. Namun, kehebatan sekolah barangkali dapat dibuktikan dengan menghasilkan legasi ilmu sebagai penyambung kelarai nyawa sekolah ini.

Sebaik murid-murid lesu menumpukan perhatian di dalam kelas, saya cuba menyulamkan cerita-cerita perjalanan belajar saya dan suasana di luar negara. Bukan apa, agar mereka turut sama mengembara ke dunia luar walaupun sekadar imaginasi.

Mata mereka tampak segar.

Mereka melontarkan pandangan ke arah saya dengan penuh minat. Saya naik syok bercerita.

Gadis itu merenung saya. Matanya tidak berkelip. Mungkin dia juga mempunyai impian untuk ke Jordan. Entah dari arah mana datangnya keinginan, saya tidak tahu.

Tetapi apabila saya berkongsi pengalaman saya, tahulah saya dia benar-benar berminat. Mungkin hendak memberitahu, malu.

Pada kelas yang akan datang, saya mengiklankan peluang menyambung ke Jordan dengan tajaan. Saya menyuruh murid-murid saya mengisi dan mengambil peluang. Sehinggakan pautan berkenaan tersebut saya beri.

Dalam kalangan murid-murid saya ramai yang mengisi termasuklah Nurul dan beberapa rakannya yang lain. Apa sahaja berkaitan permohonan yang mereka tidak pasti, mereka akan merujuk kepada saya terlebih dahulu. Apabila yakin, permohonan mereka terus dihantar.

Saya membantu sekadar tahu.

Apabila keputusan diperolehi, seperti adatnya, ada yang berjaya dan ada yang belum berjaya.

Nurul memberitahu dia berjaya, tetapi bidang yang ditawarkan tidak berkenan di hatinya.

Saya menyuruh supaya dia beristikharah. Mudah-mudahan Tuhan memberi petunjuk. Akhirnya dia memberi tahu bahawa dia menolak tawaran tersebut dan menanti tawaran yang lain jika berpeluang. Sebagai guru, saya hanya menghormati keputusan murid-murid, apatah lagi keputusan ini melibatkan keseronokkan mereka belajar suatu ketika nanti.

DUA

Katanya kepada saya, sudah bertahun dia memohon keizinan daripada ayahanda dan bondanya untuk menyambung belajar ke Jordan. Namun, Jordan sering digembar-gemburkan orang sebuah tempat yang menelan perbelanjaan yang tinggi, pembelajaran yang sukar bahkan tidak menjamin peluang pekerjaan.

Nurul hampir pasrah.

Katanya kepada saya untuk menyambung pengajian di dalam negara sahaja, tidak keluar negara. Saya tiada zan, bahawa semangatnya pasti masih ada, walaupun hanya seperti cahaya pelita.

Saya cuba memberi tenaga semangat untuknya. Pelbagai ayat yang terakam di minda, saya lontarkan kepadanya. Antaranya yang masih saya ingat ialah;

“ Bina impian bukan dengan duit, tetapi dengan azam,” akhirnya semangatnya berkorbar semula.

Saya pula yang resah. Mana tidaknya, saya pula bersungguh-sungguh, seakan memaksa. Itu yang membimbangkan saya. Dek kerana saya rasakan dia punya potensi mengembangkan ilmunya, atau lebih mudah kepintarannya menjadi aset agama, saya tidak putus-putus memberi kata semangat.

Nurul seorang yang taat. Dia tidak pandai melawan kebimbangan ayahanda dan bondanya. Dia juga mudah reda. Pun begitu, dia tidak putus menyelitkan doanya di dalam solatnya dan juga di sepertiga malam. Akhirnya Tuhan telah membuka hati ayahanda dan bondanya untuk melepaskan dia pergi.

Bagi mempersiapkan diri ke Jordan. Nurul berusaha mencari pendapatan sendiri dengan mengajar al-Quran atas talian. Nurul gembira dengan kerjayanya yang sementara itu. Sedikit sebanyak pendapatan dapat dia kumpul untuk keperluannya di Jordan.

Bukan itu sahaja, Nurul juga mengambil upah untuk mengopek ikan bilis. Nurul sakit urat. Terkadang jari halusnya mengejang. Tengkoknya lenguh. Tulang belakangnya mengeras. Sesekali Nurul menggeliat bagai kucing baru bangun tidur. Apa boleh buat, itu sahaja usaha yang dia mampu. Tidak pula dia berpeluk tubuh. Rasanya berbaloi menanggung sakit demi menggapai impiannya ke Jordan.

Kasihan Nurul.

Tidak pula Nurul mengenal lelah. Juga, tidak pula Nurul kisah akan bau hanyir ikan bilis yang menusuk hidungnya. Demi menampung perbelanjaan, demi meringankan beban keluarga, dia gagahkan dirinya .

Memang benar, Orang yang berusaha jarang sekali dikecewakan Tuhan. Demi seluas rezeki, berguni-guni ikan bilis yang dikopek, Nurul sanggup lakukan siang dan malam, pagi dan petang. Seluas itu juga hasil yang diperolehinya.

TIGA

Menjelang beberapa hari sebelum berangkat, Nurul mengutus kiriman Whatsapp kepada saya. Katanya seseorang individu, telah mengirim masej yang berbaur dilema. Individu tersebut melontarkan kata, yang seakan nasihat baginya. Tetapi tidak bagi saya. Kata-kata itu ibarat racun yang akan membunuh cita-cita, ungkapan tersebut bermafhum,

“ Balik nanti nak jadi apa?”

Saya mengarang panjang menjawab persoalan tersebut, bahkan tidak cukup mengarang kepada Nurul, malah saya juga berkongsi hantaran pada ruangan akaun Facebook peribadi saya;

Bagi saya, soalan itu yang bermain difikiran bukan penuntut ilmu, tetapi penuntut materialistik. Bukan itu sahaja, bahkan soalan itu mempunyai bisa memedap yang bakal membunuh semangat dan cita-cita.

Kali ini, soalan itu timbul sekali lagi walaupun sudah lama tenggelam dan saya telah melupakan. Namun dikejutkan apabila Nurul mempersoalkan tentang itu. Nurul bukan tidak yakin, tetapi Nurul agak sedikit terganggu dengan soalan itu.

Jawab saya, itu adalah takdir. Tiada siapa yang dapat merungkai permasalahan takdir menggunakan formula sendiri. Mungkin banyak perkara kita boleh menggunakan formula, tetapi tidak kepada rezeki, ajal, jodoh masa depan dan lain-lain.

Bukankah orang seperti saya tidak mempunyai hala-tuju?

Jawab saya, hala-tuju saya yang sebenar ialah kehidupan selepas mati. Itu hala-tuju yang sebenar. Dan itu yang perlu menjadi fokus utama, dan itulah perjalanan yang tidak dapat berpatah balik.

Kenapa?

Perjalanan di dunia ini, jika tersesat atau terlajak, semestinya ada peluang untuk berpatah balik, tidak pada hala-tuju akhirat.

Sepertinya tidak ada perancangan?

Ya, kita merancang, tetapi jangan terlalu obses. Tetapi rancangan yang terbaik ialah rancangan apabila kita mendapat sesuatu peluang. Kenapa kita perlu merancang ? sedangkan peluang belum ada?, bukan itu satu kepelikan. Atau erti kata lain, merancang sesuatu yang belum pasti.

Kita tahu, pada diri sendiri punya; bakat, kekuatan dan kelemahan, semestinya kita akan berjaya dengan jalan yang ditentukan Allah SWT. Kita akan berjaya apabila kita menemui jalan yang betul.

Dahulu, sewaktu di Jordan, saya ditanya oleh rakan; balik nanti engkau nak buat apa?

Saya jawab tak tahu, mungkin jual ayam goreng, ejen pelancongan barangkali, tetapi takdir saya Allah beri dengan lebih baik daripada apa yang saya fikirkan.

Jika datang peluang pada waktu sekarang manfaatkanlah, peluang yang akan datang jangan difikirkan lagi. Ambillah teladan kata-kata hikmah orang terdahulu;

” Lepas putih, hitam tak dapat”

EPILOG

Nurul dan rakan-rakannya akan berangkat ke bumi Jordan . Tiadalah yang mengembirakan perasaan seorang guru, melainkan anak didiknya lebih baik daripada dirinya. Kerana dia melihat anak didiknya adalah cerminan peribadinya.

Jika anda melihat murid anda berpontensi, sewajarnya anda memberi harapan supaya dia terus berlari. Terus menggapai awan yang tinggi, setinggi mana ia terbang setinggi itu diri anda, sejauh mana dia berkelana, sejauh itu juga harapan anda telah dibawa bersamanya.

Hujan sudah mulai reda. Perasaan menjadi dingin, namun saya tetap saya. Tidak ke mana-mana tetapi masih bercita-cita memberi inspirasi kepada ramai lagi murid seperti Nurul dan rakan-rakannya yang berjaya, agar mampu menggapai cita-cita mereka dan pulang menegakkan agama Allah SWT.

Leave a comment