ULASAN BUKU OLEH PAK PUZI HADI SASTERAWAN ASASI

Posted: October 5, 2021 in IndahNYA pernikahan..

MOTIVASI MENGHAYATI AL-QURAN

Catatan SAS Puzi Hadi

Aneka buku di pasaran, memahamkan kita berkaitan al-Quran daripada pelbagai perspektif. Ada berbentuk popular dan akademik mengikut aras khalayak. Ada buku nipis yang ringkas isinya; buku tebal yang ditulis bersifat ilmu kajian yang mendalam.

Buku tersebut sama ada karya asli berbahasa Melayu atau terjemahan daripada bahasa Arab.Kini hadir buku ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ (AQSE) buah tangan Wan Mohammad Taufik Bin Wan Mohd Kamal (Shah Alam: Akademi Daie Pena, 2021).

Buku bergaya motivasi mahu mendekatkan khalayak kepada al-Quran yang sesuai untuk pembaca umum (termasuk remaja).Kandungan buku AQSE terbahagi dalam empat bab iaitu:

Bab 1: Kenapa Al-Quran itu perlu dibaca? Penulis mencirikan 10 perkara secara ringkas bersandar ayat al-Quran atau hadis tanpa panjang lebar tapi meninggal kesan kepada pembaca. Diselangi dengan ‘Inspirasi Tokoh’ dengan tokoh dahulu mendekati al-Quran sebagai panduan kepada kita meyakini kebesaran kitab wahyu Allah SWT.

Bab 2: Perkembangan ringkas al-Quran. Tidak tahu sejarah maka tidaklah jatuh cinta kepada al-Quran. Penulis ketengahkan susur galur turunnya al-Quran kepada Nabi SAW diangkat sebagai Rasul pada usia 40 tahun 6 bulan 12 hari (perkiraan bulan) atau 39 tahun 3 bulan 22hari (perkiraan matahari). Diceritakan senario Gua Hira untuk kita lebih menghayati penurunan ayat-ayat suci melalui interaksi di antara Baginda dengan Malaikat Jibrail AS. Turut disentuh hal pembukuan al-Quran berlaku selepas kewafatan Nabi SAW iaitu kesan daripada peperangan Yamamah di mana ramai penghafal al-Quran terbunuh.

Bab 3: Eksplorasi. Terbahagi tiga bahagian.Eksplorasi 1 – Penulis mengutara panduan pilihan pelbagai bacaan Nabi SAW sebagai amalan harian umat Islam. Eksplorasi 2 – Penulis membawa kisah yang terdapat dalam al-Quran, iaitu Surah Hud; Nabi Nuh; kisah kaum A’ad; kisah kaum Thamud; Nabi Luth; cerita kaum Madyan; dan Nabi Musa.Eksplorasi 3: Menyentuh pelbagai urusan hidup duniawi berkaitan akidah dan syariat yang diperintah Allah SWT wajib dilaksana umat-Nya dan termaktub dalam al-Quran. Setiap perkara diiringi tadabbur ayat al-Quran.

Bab 4: Bagaimana saya hendak mengeksplorasi Al-Quran? Mungkin berdasar pengalaman penulis disampaikan kepada kita. Misalnya perlu ada al-Quran terjemahan; dalam Al-Quran terdapat aneka topik yang boleh kita ambil sebagai panduan; peka kepada alam ciptaan Allah SWT yang terdapat dalam al-Quran itu sendiri; memahami makna perkataan serta pelbagai tema dalam al-Quran.

Kelangsungan menatap buku ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ (dengan hanya 113 muka surat) terasa ada kelainan gaya penyampaiannya yang tidak saya temui sebelum ini. Moga jiwa kita lebih dekat kepada al-Quran dengan eksplorasi motivasi penulis kepada khalayak.

II

Penulis ‘Al-Quran Satu Eksplorasi’ iaitu Wan Mohammad Taufik Bin Wan Mohd Kamal mengguna nama pena Qalam Daie berasal dari Pulau Pinang, lahir pada tahun 1988.Beliau melengkapkan dirinya dengan Diploma bahasa Arab di KUIS (2009), Ijazah Sarjana Muda (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) di Universiti Ali Al-bayt (2014) dan, Diploma Pendidikan Lepas Ijazah di IPG Kampus Pulau Pinang (2019).Kini berkhidmat di Maahad Al-Imam An Nawawi, Lahar Minyak Kepala Batas, Pulau Pinang.

TERIMA KASIH PAK PUZI ATAS KESUDIAN MENGULAS BUKU SAYA!

Leave a comment